Blogger Widgets

BAB 6



            Zureen duduk berteleku di atas tikar sejadah usai menunaikan solat zohor.   Biarpun belum berapa jam dia berada di banglo mewah itu dan baru saja memulakan tugas barunya, tetapi dia merasakan seolah-olah sudah terlalu lama dia berada di situ.
            Mungkin kerana apa yang telah dilaluinya sebaik sahaja melangkah masuk ke banglo ini, benar-benar telah menguji kekuatan dirinya.  Dia langsung tidak menduga, dalam usia semuda ini, dia terpaksa melalui sebuah pengalaman yang seberat ini. 
Baru sebentar tadi dia terpaksa melalui saat-saat getir apabila tiba-tiba tangannya dipegang dengan kejap oleh Syed Redza.  Masih terasa sakit lagi kesan dari tindakan lelaki itu terhadapnya. 
Zureen terpaksa berhempas pulas untuk melepaskan tangannya dari pegangan Syed Redza.
“Kenapa ni Encik Redza??  Tolong saya…jangan buat saya macam ni!  Kalau ada apa-apa sikap dan perbuatan saya yang tak menyenangkan Encik Redza, saya minta maaf tapi tolong jangan buat saya macam ni…saya hanya menjalankan tugas saya saja”, rayu Zureen apabila melihat sikap Syed Redza yang semakin menakutkannya dan tidak diduga olehnya.
Sebentar tadi Syed Redza kelihatan seperti sudah insaf dan dapat menerima kata-kata nasihatnya tadi, tetapi tiba-tiba jadi begini pula.  Memang sikap lelaki itu sukar untuk diduga.
Akhirnya tangan Zureen dilepaskan juga dari pegangan Syed Redza setelah dirayu Zureen beberapa kali.  Perubahan sikap Syed Redza secara tiba-tiba itu benar-benar membingungkan dan menakutkan Zureen.
Zureen tidak sanggup untuk berlama-lamaan di situ lagi.  Dia ingin segera beredar sebelum lelaki itu berubah tingkah laku lagi. Baru saja Zureen ingin melangkah meninggalkan Syed Redza, tiba-tiba lelaki itu bersuara.
“Kenapa golongan kau ni kejam sangat??”, keras suaranya melontarkan soalan itu.
Langkah Zureen terhenti sebaik sahaja mendengar kata-kata Syed Redza itu.  Zureen bingung seketika kerana dia sendiri memang tidak faham akan maksud soalan lelaki itu.
Zureen memalingkan badannya menghadap Syed Redza semula.  Dahinya berkerut seketika.  Dia masih menganalisa maksud soalan Syed Redza.  Adakah Syed Redza merujuk kepada dirinya yang telah melayan lelaki itu agak kasar tadi?
Takkanlah tindakannya tadi sudah dianggap kejam oleh Syed Redza?  Malahan, Zureen rasa tindakannya wajar dan ianya sepadan dengan kata-kata kesat dan maki hamun yang diterimanya dari lelaki itu.
Atau…Syed Redza merujuk kepada bekas tunangnya, Lisa?  Ringan saja mulutnya ingin bertanya, namun memikirkan emosi lelaki itu masih tidak menentu, dipendamkan saja hasratnya itu.
“Encik Redza…saya tak faham apa maksud Encik Redza.  Macam nilah, Encik Redza berehat dulu….jangan fikirkan yang bukan-bukan.  Mungkin fikiran Encik Redza sedang kusut sekarang ni.  Bila dalam keadaan  yang kusut, akal kita tak dapat berfikir dengan waras…”, hanya itu yang mampu diungkapkan Zureen ketika itu.
Syed Redza kembali menundukkan wajahnya sebaik mendengar kata-kata Zureen.  Mujurlah lelaki itu akur kepada kata-katanya.  Syed Redza terus merebahkan dirinya di atas katil.  Sebuah keluhan kedengaran dari mulut lelaki itu.
Zureen menarik nafas lega seketika.  Pengalaman yang baru saja dilaluinya ini benar-benar menguji kekuatan dirinya.  Apa yang pasti, pengalaman yang diperolehinya itu sedikit sebanyak telah mematangkan dirinya.
            Bukan mudah untuk merawat jiwa.  Zureen sedar dia langsung tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan seperti seorang pakar jiwa atau pakar psikologi, namun tugas barunya itu, nampaknya sangat memerlukan kepakaran tersebut.
            Siapalah dirinya untuk melakukan tugas tersebut?  Selama ini dia hanya dilatih bagaimana untuk merawat fizikal dan bukannya mental manusia, namun baru sebentar tadi, tanpa disedarinya, dia telah pun melakukannya.
            “Ya Allah….aku benar-benar ikhlas menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadaku ini.  Aku mohon Ya Allah, berilah aku kekuatan diri, berilah aku petunjuk bagaimana aku boleh membantu hambaMU itu Ya Allah…”, doa Zureen dengan setulus hatinya.
            Zureen bingkas bangun  setelah menyedari dia sudah terlalu lama duduk di atas tikar sejadah.  Memang tidak ada salahnya berada lama di atas sejadah setelah selesai bersolat, berwirid dan berdoa kerana lebih lama berada di atas tikar sejadah, maka lebih banyak masa yang digunakan untuk muhasabah diri sendiri, namun sekarang ini dia sedang bertugas. 
Tiba-tiba perasaan bersalah menguasai dirinya kerana sudah terlalu lama dia berada di biliknya sebaik sahaja selesai menguruskan Syed Redza tadi.  Datin Raja Fatimah pula telah lama ke butiknya sejak pagi tadi.
            Baru sahaja dia ingin melangkah keluar dari biliknya, tiba-tiba dia terperasan sesuatu.  Sejak dari pagi tadi, dia langsung tidak menyentuh telefon bimbitnya sedangkan sejak sekian lama dia langsung tidak boleh berenggang dengan telefonnya itu.
            Selama ini, telefon bimbitnya akan sentiasa berada di poket seluarnya.  Dia sendiri tidak tahu kenapa kerana biasanya orang yang tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit adalah orang yang sibuk ber’sms’ dengan kekasih hati, tetapi tidak bagi dirinya. 
            Entah apa yang disayangkan sangat dengan telefon bimbitnya itu, dia pun tidak tahu.  Memang Zureen tidak nafikan, dia juga sibuk ber’sms’ tetapi bukanlah dengan kekasih hati.  Seingat-ingatnya, hanya tiga orang sahaja yang kerap dihubungi dan menghubunginya.  Abangnya Zahin, abang angkatnya, Dr. Haziq dan “bff”nya (best friend forever), Alia.
            Zureen mencapai beg tangannya.  Diambil telefon bimbitnya yang tersimpan kemas di dalam beg tersebut.  Sebaik sahaja dia melihat telefon bimbitnya, tertera di skrin telefon 15 missed call dan 3 mesej masuk.
            “Ya Allah!  Banyaknya missed call.  Siapa yang call ni?  Penting sangat ke?”, gumam Zureen sambil memeriksa senarai panggilan yang tidak dijawabnya itu.
            Zureen mengeluh panjang setelah melihat senarai pemanggil yang menghubunginya sejak dari pagi tadi.  Dua panggilan dari uminya, dua panggilan dari abangnya, Zahin dan yang menyesakkan nafasnya apabila melihat sebelas panggilan itu dari abang angkatnya, Dr. Haziq.  Lebih merimaskannya, panggilan yang dibuat abang angkatnya adalah selang 3 minit.
            Zureen membaca pula mesej yang diterimanya.  Satu mesej dari abangnya, Zahin yang bertanya khabar tentangnya.  Zureen segera membalas mesej dari abangnya.  Dua panggilan dari uminya akan dijawab sebentar lagi.   Dua mesej lagi sudah semestinya dari Dr. Haziq Daniel.
            Mesej pertama dihantar pada jam 9.30 pagi:
            Kenapa tak jawab call abang?  Please call me back!!”
            Mesej kedua dihantar jam 11.00 pagi:
            Zureen sibuk sangat ke? Kenapa masih tak jawab panggilan abang?  Kenapa tak call balik?  Baru first day kerja dah busy macam ni sekali?  Kalau Zureen tak call abang, petang nanti abang akan ke sana!”
            Sesak nafas Zureen sebaik sahaja membaca mesej kedua itu.  Aduh!  Dia dah mula dah!  Kalau diikutkan keras hatinya, mahu saja diabaikan mesej-mesej dari abang angkatnya itu, namun Zureen bimbang kerana dia tahu sangat perangai abang angkatnya itu.  Dia pasti akan kotakan apa yang dikatakannya.  Terasa menyesal pula kerana menunjukkan banglo majikannya kepada Haziq tempoh hari.
            “Aduh!  Nak buat macam mana ni?  Nak call ke tak ni?  Kalau call panjang pulak ceritanya… Kalau tak call, buatnya betul-betul dia muncul kat banglo ni, aku nak buat apa?  Hishhh…..rimasnya aku nak melayan mamat sorang ni.  Punyalah caring mengalahkan dia tu boyfriend aku pulak!  Abang Zahin pun tak macam tu…”, bebel Zureen sendiri.
            Setelah mempertimbangkan segala kemungkinan, akhirnya Zureen mengambil keputusan untuk membalas mesej Haziq saja.  Dia malas untuk menelefon kerana pastinya dia akan terpaksa menadah telinganya mendengar bebelan Haziq.
            Salam.  Abang, Zureen minta maaf sebab tak jawab panggilan abang.  Zureen tak perasan ada panggilan dan mesej masuk sebab fon dalam beg Zureen.  Memang Zureen busy sikit.  Hari ni kan first day Zureen kerja kat sini, dah tentulah banyak benda Zureen nak kena buat.  Abang jangan pulak buat kerja gila datang kat tempat kerja Zureen.  nanti kalau Zureen kena fired macam mana?  Zureen baru nak merasa pegang duit sendiri tau!….Nanti bila Zureen free, Zureen call abang eh…sorry”
            Panjang lebar mesej yang dihantarnya.  Dah mengalahkan karangan pulak.  Harap-harap abang angkatnya memahami situasinya ketika itu.
            Seterusnya dihubungi uminya pula.  Perbualan yang ringkas sahaja.  Tiada apa yang penting, sekadar perasaan ingin tahu dari seorang ibu kerana bimbang katanya.  Bimbang jika dia tidak dapat menyesuaikan diri di tempat baru.  Setelah dapat meyakinkan uminya, tugasnya disambung kembali.
            Zureen segera berjalan keluar dari biliknya untuk menyambung tugas seterusnya.  Kali ini, dibawa bersama telefon bimbitnya.  Bimbang kalau panggilan yang diterimanya sememangnya panggilan yang penting.  Dimasukkan ke dalam poket uniformnya.
            Zureen membawa bersama diarinya yang tercatat senarai tugas yang perlu dilakukan.  Ditelitinya senarai tugas itu untuk mengetahui apakah tugas yang perlu dilakukan seterusnya.
            “Pagi tadi Dr. Rashdan dah ambil tekanan darah dia…ubat pun dah bagi makan tadi.  Lepas ni nak buat apa ek?  Ooo…sekarang kena check gula dalam darah pulak dua jam lepas makan…Alamak!  Ni dah lebih dari dua jam…Aduh!  Matilah aku kalau Dr. Rashdan tahu aku tak ikut masa yang dia tetapkan..”, Zureen memeriksa senarai tugasnya.
            Zureen bergegas ke bilik Syed Redza.  Rasa-rasanya, Syed Redza pasti sedang tidur kerana kesan dari ubat yang dimakannya tadi.  Zureen tetap mengetuk pintu bilik itu terlebih dahulu sebelum masuk.  Manalah tahu, kalau Syed Redza tidak tidur.  Nanti, tak fasal-fasal kena jerkah sedangkan lelaki itu baru saja belajar untuk menerima kehadirannya di banglo itu, walaupun Zureen sendiri masih tidak pasti akan sikap lelaki itu seterusnya kerana Zureen sedar, pesakit seperti Syed Redza emosinya sentiasa  tidak stabil.
            Zureen menolak perlahan-lahan pintu bilik lelaki itu.  Dijengahkan kepalanya untuk memeriksa keadaan bilik itu terlebih dahulu.  Memang ternyata Syed Redza sedang tidur. 
            Zureen berjalan perlahan menghampiri katil Syed Redza.  Sebolehnya dia tidak mahu mengejutkan lelaki itu kerana belum sampai masanya untuk makan ubat.  Syed Redza sepatutnya makan tengahari terlebih dahulu sebelum mengambil ubat.
            Zureen mengambil alat untuk memeriksa gula dalam darah.  Dia tidak perlu mengejutkan lelaki itu kerana tugasnya itu masih boleh dilakukan walaupun Syed Redza tidur.  Malahan tugasnya menjadi lebih mudah jika dalam keadaan begitu.
            Zureen sempat memerhatikan wajah Syed Redza yang sedang lena itu.  Dia mengamati wajah itu sedalam-dalamnya.  Tiba-tiba perasaan kasihan bersarang di hatinya.  Dari wajah lelaki itu, Zureen dapat merasakan sikap sebenar Syed Redza tidak seperti sikapnya sekarang ini. 
            Sudah pasti sikap Syed Redza sekarang ini telah dipengaruhi oleh kesan dari kemalangan yang dialaminya.  Andaian Zureen itu diperkuatkan lagi dengan cerita dari Datin Raja Fatimah mengenai bekas tunangnya, Lisa. 
            Zureen memerhatikan pula fizikal lelaki itu.  Fizikal tubuh badannya masih sempurna.  Tiada sebarang kecacatan pada tubuh badannya walaupun dia mengalami kemalangan jalan raya yang agak dasyat.  Hanya kaki kanannya yang patah dan kelihatan parut-parut kecil kesan dari luka-luka yang dialaminya terutama di tangan dan kakinya.
            “Encik Redza….kembalilah kepada dirimu yang asal.  Sihatlah semula.  Masih banyak yang perlu dirimu lakukan di luar sana.  Jangan hampakan perasaan orang-orang yang menyayangimu”, Zureen bermonolog sendiri.  Bukan sekadar monolog, tetapi itu juga adalah doanya untuk lelaki itu.
Setelah termenung panjang, Zureen kembali menyambung tugasnya.  Diambilnya kapas dan diletakkan sedikit spirit di atas kapas itu tadi.  Kemudian, diraih tangan kanan Syed Redza.  Kapas lembap itu disapukan beberapa kali di bahagian hujung jari telunjuk lelaki itu.  Kelihatan badan Syed Redza bergerak sedikit.  Mungkin disebabkan rasa sejuk yang datang dari kapas berspirit itu tadi.
Baru sahaja Zureen hendak mencucuk hujung jari Syed Redza menggunakan lancing device, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
Zureen tersentak akibat bunyi ring tone lagu favouritenya, careless whisper dari George Michael.  Hampir terlepas lancing device yang dipegangnya.
“Aduh!  Kenapalah time ni kau berbunyi pulak?  Apasal lah aku lupa nak silentkan tadi?”, bisik Zureen keresahan.
Zureen jadi kalut seketika.  Dari bunyi ring tone itu, Zureen sudah tahu siapa yang sedang menghubunginya kerana memang dia telah settingkan lagu itu khas untuk siapa lagi kalau bukan Dr. Haziq.
Zureen jadi bertambah panik apabila melihat Syed Redza turut tersedar dari lenanya hingga dia sendiri tidak menyedari ketika itu dia masih memegang tangan Syed Redza.  Zureen bimbang jika tiba-tiba Syed Redza mengamuk lagi akibat tidurnya itu terganggu oleh bunyi deringan telefon bimbit Zureen.
Tajam matanya merenung Zureen.  Bagaikan satu amaran untuk Zureen.  Tindakan spontan dari Zureen, mematikan panggilan itu.
“Maaf Encik Redza…saya nak check gula dalam darah Encik Redza”, tanpa disoal Zureen memberitahu apa yang sedang dilakukannya.
Tiada sebarang reaksi dari Syed Redza.  Dia memejamkan kembali matanya.  Zureen lega.
Diulang semula tugasnya tadi setelah mendapati Syed Redza menyambung tidurnya.  Sekali lagi, tanpa diduga, baru sahaja dia ingin mencucuk jari Syed Redza, telefon bimbitnya berbunyi lagi.
“Ya Allah….apahal dia ni?  Tak faham bahasa ke?”, Zureen meradang.  Kali ini dimatikan terus telefon bimbitnya.
Zureen memandang Syed Redza yang sedang merenungnya tajam.  Pandangannya lebih tajam kali ini.
“Kalau awak rasa nak bergayut kat telefon, baik tak payah kerja!  Beritahu boyfriend awak tu, ini bukan masanya.  Ini waktu tugas rasmi awak!”, dengan selamba dan sinis Syed Redza menyindir Zureen.
Zureen agak tersentak dengan kata-kata Syed Redza itu.  Boyfriend?  Mana dia tahu yang telefon tu siapa?  Sedap mulut aje nak menuduh!  Main serkap jarang!
Berbakul-bakul sumpah seranah terhadap abang angkatnya di dalam hati Zureen.  Tak fasal-fasal, kerana abang angkatnya, dirinya dimarahi.  Terasa menyesal pula kerana membawa bersama telefon bimbitnya tadi.  Sepatutnya dia letakkan telefon bimbitnya dalam silent mode.  Entah kenapa dia terlupa pula.  Mungkin kerana tidak menyangka Haziq akan menelefonnya setelah dia menghantar mesej kepada abang angkatnya itu.
“Maaf Encik Redza…saya janji perkara ni tak akan berulang lagi”
Menyedari itu memang kesalahannya, Zureen hanya mendiamkan diri setelah memohon maaf.
“Izinkan saya sambung tugas saya”
Syed Redza memejamkan matanya semula.  Zureen tidak pasti adakah Syed Redza menyambung tidurnya atau sekadar memejamkan matanya.
Kali ini tugasnya berjalan lancar.  Setelah mencucuk hujung jari telunjuk Syed Redza, diletakkan setitik darah lelaki itu di bahagian hujung test strip.  Kemudian, angka 7.6 tertera di skrin meter.
Agak tinggi!  Patutlah dia mengamuk tadi bila aku bagi dia roti yang disapu dengan jem, getus hatinya.
Zureen terus sahaja mencatatkan bacaan yang diperolehinya di dalam fail yang telah disediakan oleh Dr. Rashdan.
Setelah merekodkan bacaan tadi, Zureen memikirkan pula cara untuk merendahkan kembali paras gula dalam darah Syed Redza.  Teringat pesanan Dr. Rashdan tadi kepadanya.  Zureen harus memastikan setiap menu hidangan untuk Syed Redza mesti mengikut senarai menu yang telah ditetapkan oleh Dr. Rashdan.
Zureen melihat jam tangannya.  Hampir jam 2 petang.  Sepatutnya Syed Redza sudah selesai makan tengahari ketika ini, namun disebabkan lelaki itu lambat mengambil sarapan paginya tadi, menyebabkan waktu makan tengahari juga telah tertunda.  Zureen sedar, selepas ini dia perlu memastikan segala yang telah diatur oleh Dr. Rashdan dilakukan mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Menyedari hari ini adalah hari pertamanya bertugas, sudah tentu semua urusan agak kelam kabut.  Ditambah pula dengan karenah Syed Redza tadi.  Zureen yakin, tugasnya akan lebih teratur selepas ini setelah dia memahami sepenuhnya bidang tugasnya.
“Mana ada orang yang terus perfect hari pertama bertugas?”, bisiknya.  Suatu helah bela diri untuk menyedapkan hati sendiri.
Sedang Zureen menulis laporan kesihatan Syed Redza untuk hari ini, kedengaran pintu bilik diketuk.
Zureen segera membuka pintu.  Kelihatan pembantu rumah, Siti berdiri di luar pintu sambil menatang dulang yang berisi makanan tengahari.
“Maaf embak Zureen…masa untuk mas Redza makan tengahari udah agak lewat kerna biasanya jam 1 mas Redza udah selesai makan.  Saya udah ngantar makanan jam 1 tadi, tapi mas Redza sedang tidur”, terang Siti tanpa dipinta.
Nampaknya pembantu rumah itu sendiri amat patuh kepada masa yang telah ditetapkan.
“Kalau Encik Redza sedang tidur tadi, kak Siti letakkan saja makanan tu atas meja.  Bila dia bangun nanti, barulah dia makan”, balas Zureen.
“Mas Redza enggak makan makanan yang udah sejuk.  Jadi saya bawa turun semula makanan itu”, jawab pembantu rumah itu pula.
“Oooo…ye ke?  Takpelah, kak Siti letakkan aje makanan tu atas meja tu”, arah Zureen.  Pembantu rumah itu akur.  Setelah meletakkan makanan tengahari itu, dia pun berlalu keluar.  Sebelum Siti keluar, dia sempat mengingatkan Zureen.
“Embak Zureen pun belum makan tengahari lagi kan?  Datin udah pesan sama saya.  Embak Zureen juga harus makan ikut waktu”
Patuh sungguh pembantu rumah Indonesia itu kepada arahan majikannya.  Zureen hanya tersenyum mengangguk.
“Saya belum lapar lagi.  Nanti kalau saya lapar, saya turun makan ye?  Kak siti janganlah risau..”
Satu lagi informasi diperolehinya sebentar tadi.  Syed Redza tak makan makanan yang dah sejuk!  Hishh!!  Cerewet betul!
Zureen merenung hidangan tengahari itu.  Sepinggan nasi yang masih berasap, ikan kembung bakar, sup sayur dan beberapa potong buah belimbing besi.  Memang menu untuk orang sakit!
Kini, Zureen merenung Syed Redza yang sedang enak tidur.  Sekali lagi dia terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama seperti pagi tadi.  Perasaan serba salah sama ada untuk mengejutkan Syed Redza atau tidak!
“Kalau tak kejut, nanti makanan ni sejuk pulak.  Dahlah dia tak makan makanan sejuk.  Kalau kejut, tak mengamuk ke dia?  Dahlah tadi tidur dia terganggu sebab telefon aku..”, Zureen sedang berkira-kira apa yang patut dilakukan.
Akhirnya, Zureen memutuskan untuk mengejutkan sahaja kerana waktu itu sebenarnya tidak sesuai untuk tidur terlalu lama tetapi disebabkan kesan ubat yang diambil oleh Syed Redza perkara itu tidak dapat dielakkannya.
Zureen sedar, kali ini dia perlu berhati-hati semasa mengejut Syed Redza.  Seboleh-bolehnya dia tidak mahu insiden pagi tadi berulang lagi.
Dengan perlahan, dihampiri Syed Redza yang sedang tidur.
“Encik Redza….Encik Redza…bangun.  Sekarang masa untuk makan tengahari”, Zureen mengejutkan Syed Redza dengan perlahan dan berhati-hati kerana dia tahu Syed Redza tidak boleh terkejut.  Dia akan mengamuk jika tidurnya terganggu akibat terkejut.  
Syed Redza membuka matanya.  Dia merenung Zureen.  Tiba-tiba Zureen merasa kecut dengan renungan itu.  Dia nak mengamuk lagi ke?
Namun renungan kali ini berbeza.  Pada tafsiran Zureen, renungan Syed Redza kali ini seolah-olah bermaksud dia sudah letih melalui semua rutin hariannya.  Renungan yang mengharapkan dirinya bebas seperti orang lain.
Zureen tidak tahu kenapa dia berfikiran begitu.  Namun, nalurinya kuat mengatakan begitu.
Tanpa berlengah, Zureen terus sahaja membantu Syed Redza bangun.
Baik aku cepat sebelum dia ubah fikiran! Getus Zureen.
“Encik Redza…sekarang masa untuk makan tengahari.  Saya minta maaf sebab dah terlewat bagi Encik Redza makan tengahari”
Tiada sebarang reaksi dari lelaki itu.  Kelihatan dia agak lemah.  Tidak seagresif pagi tadi.
Baru sahaja Zureen ingin menghulurkan pinggan kepada lelaki itu, tiba-tiba dia bersuara.
“Bawa aku ke balkoni”
Kali ini, suaranya mendatar sahaja.  Tidak terjerit-jerit seperti pagi tadi.  Zureen tidak pasti sama ada sikap Syed Redza itu disebabkan kata-kata nasihat Zureen pagi tadi atau disebabkan kesan daripada ubat yang dimakannya.
Tanpa banyak soal, Zureen terus sahaja memapah Syed Redza ke kerusi roda dan terus menyorongnya ke balkoni.  Setelah itu, Zureen kembali mengambil hidangan makan tengahari untuk dibawa ke balkoni.
Zureen mula mengambil lauk-pauk yang telah disediakan dan diletakkannya ke dalam pinggan nasi.  Kemudian, dia mula menyuap nasi ke mulut Syed Redza dengan menggunakan sudu walaupun tidak diarah lelaki itu.
Syed Redza hanya merenung Zureen sewaktu sudu yang berisi nasi itu sudah berada di hadapan mulutnya.
“Aku boleh makan sendiri..”
Diambilnya pinggan dan sudu dari tangan Zureen.  Zureen pula melihat dengan agak pelik tindakan Syed Redza.
“Bukan ke pagi tadi dia yang beria-ia suruh aku suap dia…siap cakap aku makan gaji buta lagi bila aku tak suap dia makan…sekarang ni nak makan sendiri pulak…macamlah aku nak sangat suap dia makan!”, gumam Zureen di dalam hati.
Apa yang pelik, hanya dua suapan sahaja yang masuk ke mulut lelaki itu.  Syed Redza kelihatan tidak berselera.  Adakah disebabkan lauk yang dimakannya sudah sejuk? Mana mungkin kerana Zureen dapat melihat kesemua nasi dan lauk pauk itu masih panas berasap.
Syed Redza kembali termenung dengan pinggan masih ditangannya.  Dia merenung jauh ke luar.  Kadang-kadang Zureen sendiri pelik.  Apalah agaknya yang sedang bermain di fikiran lelaki itu apabila dia termenung begitu?
Jika boleh, Zureen ingin menyelami perasaan Syed Redza ketika itu, namun dia sedar mana mungkin dia bertindak sejauh itu.  Siapalah dirinya untuk melangkaui batas tugasnya.
Zureen tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu.  Adakah dia harus membiarkan saja Syed Redza termenung begitu?  Ingin bertanya, rasa bimbang pula.
Mungkin Syed Redza ingin bersendirian.  Zureen memutuskan untuk meninggalkan Syed Redza seketika melayan perasaannya.  Dengan perlahan dia melangkah keluar.
“Kau nak ke mana?”, soal Syed Redza dengan suara mendatar.
Zureen tersentak.  Terhenti langkahnya.
“Maaf.  Saya nak keluar sekejap”, balas Zureen.
“Ada kau minta izin dengan aku?  Ada ke aku bagi kebenaran kau keluar?”
Zureen terkedu.  Alamak!  Dia dah mula dah.  Adakah pertengkaran akan terjadi lagi?
“Saya minta maaf Encik Redza….saya tengok Encik Redza macam termenung aje.  Saya fikir mungkin Encik Redza ingin bersendirian dan tak mahu diganggu”
“Bukan ke mama aku gajikan kau untuk jaga aku?”
Jaga kau?  Oh, tidak….pembetulan bukan jaga kau tapi jaga kesihatan kau!  Jerit Zureen di dalam hati.
“Maaf Encik Redza…..”, Zureen tidak tahu untuk membalas apa kerana bimbang akan mengundang kepada bibit-bibit pertengkaran.
“Aku dah kenyang!”
Seolah-olah faham akan kata-kata Syed Redza, tanpa diarahkan dia terus sahaja mengambil pinggan di tangan Syed Redza dan menghulurkan segelas air pula.
“Saya hantar makanan ni ke bawah dulu…”, Zureen memberitahu sekaligus seperti sedang meminta kebenaran untuk keluar seketika.
“Dah hantar, terus masuk semula ke sini!”
Zureen benar-benar rimas diarah seperti itu.  Namun, apakan daya.  Sememangnya dia sedang bertugas ketika itu.  Dia terpaksa menurut segala arahan lelaki itu walaupun kadangkala boleh menyebabkan dirinya hilang sabar.
Zureen akan cuba sebaik mungkin mematuhi segala apa yang diarahkan oleh Syed Redza selagi arahan itu tidak menjejaskan dirinya dan melampau batas.
Sewaktu menghantar hidangan tengahari Syed Redza ke dapur, otaknya ligat berfikir.  Apa yang hendak Syed Redza lakukan hingga mengarahkannya segera masuk ke biliknya?
Akhirnya Zureen tersenyum sendiri.  Apa yang Syed Redza mampu lakukan kepadanya dalam keadaan dirinya begitu? 
“Kalau  dia berani nak buat tak senonoh, kau tengoklah apa akan aku buat!  Apa susah?  Aku tolak aje dia, jatuhlah nanti!”, Zureen merancang sesuatu sebagai langkah keselamatan untuk dirinya.
Zureen tidak tahu kenapa dia berfikir sejauh itu.  Namun, Zureen sedar.  Dia perlu sentiasa berhati-hati kerana dia belum kenal lagi siapa lelaki itu.  
“Apa agaknya dia nak buat  lepas ni?  Siap suruh aku masuk segera ke bilik dia pulak tu?  Aduh!  Dahlah muka tu serius 24 jam….aku nak masuk terus ke tak ni ek??”, gumam Zureen yang risau.

1 comment:

  1. Tgh membaca dan cuba membaca semua bab...sblm beli hardcopy....sovfar tdk mengecewakan...

    ReplyDelete

ASSALAMUALAIKUM....
Sila tinggalkan komen anda di sini.
SATU pun jadilah!...hehe
Semoga komen yang ikhlas dapat membantu saya.
TQ

COPYRIGHT(C)KARYA ANDAI ITU TAKDIRNYA DAN SEGALA YANG TERTERA DI ATAS ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN