Blogger Widgets

BAB 19



           Di sepanjang perjalanan pulang, Haziq hanya membisu.  Dia masih memikirkan akan maksud kata-kata Syed Redza tadi.  Walaupun hanya beberapa patah perkataan sahaja, tetapi entah kenapa, hatinya cukup resah.  Seperti ada maksud lain di sebalik kata-kata yang ringkas itu.  Apatah lagi melihat cara lelaki itu merenung Zureen.  Dia jadi tidak sedap hati.         
            Zureen pula merasa amat pelik dengan perubahan tingkah laku abang angkatnya.  Diam seribu bahasa sedangkan semasa di telefon pagi tadi, suaranya cukup riang dan tidak habis-habis mengatakan yang dirinya tidak sabar untuk berjumpa dengan Zureen.
            “Abang Haziq!”, suaranya sengaja ditekan setelah beberapa kali memanggil tetapi abang angkatnya hanya membisu.
            Haziq tersentak dengan jeritan Zureen.  Dia seperti baru tersedar dari lamunannya.  Spontan dia memberhentikan keretanya di bahu jalan.
            “Kenapa ni Zureen?  Terjerit-jerit.  Abang belum pekak lagilah!”, suara Haziq sedikit tinggi.  Marah dengan tindakan Zureen dan sebenarnya lebih marahkan peristiwa di banglo mewah itu tadi.
            “Ooo belum pekak?  Yang abang buat tak tahu aje bila Zureen panggil abang tu kenapa?  Dah abang tak dengar, Zureen jeritlah!”, balas Zureen jengkel akibat tidak semena-mena dimarah Haziq.
            Apahal pulak mamat ni tak fasal-fasal nak naik angin?  Bukan aku yang suruh dia ambil aku!  Bisik Zureen geram.
            “Abang Haziq….kenapa ni?  Dari tadi Zureen tengok abang diam aje.  Kan Zureen dah cakap pagi tadi, kalau abang busy tak payahlah susah payah nak jemput Zureen.  Kan dah menyusahkan abang.  Lagi pun driver datin boleh hantar Zureen balik….”, soal Zureen lagi setelah melihat wajah serius Haziq.
            “Abang tak rasa susah pun nak jemput Zureen dan abang tak pernah rasa susah buat apa-apa saja untuk Zureen.  Kenapa?  Zureen tak suka abang jemput Zureen ke?  Dah tak sudi nak naik kereta abang?  Yelah dah duduk banglo besar.  Mewah pulak tu.  Dah ada driver lagi.  Manalah nak pandang abang lagi!”, luah Haziq dengan nada suara yang masih tinggi.
            “Apa yang abang Haziq merepek ni?  Sejak bila pulak  Zureen tak sudi nak naik kereta abang?  Zureen cuma tak nak menyusahkan abang.  Jarak dari hospital dengan banglo datin tu jauh.  Lagi pun, tugas abang kan tak tentu masa.  Zureen tak naklah disebabkan Zureen, sampai abang terpaksa tinggalkan kerja abang.  Itu saja!”, balas Zureen yang juga agak berang tetapi cuba dikawalkan nada suaranya memandangkan abang angkatnya itu telah bersusah payah datang untuk menjemputnya.   Namun, tuduhan melulu yang keluar dari mulut abang angkatnya itu agak keterlaluan.
            “Huh!  Yelah tu!”, Haziq merengus.
            Suasana sepi seketika.  Masing-masing melayan perasaan sendiri.  Hanya alunan lagu di radio yang berkumandang.  Haziq menyandarkan kepalanya.  Mata dipejamkan seketika.
            Zureen pula semakin resah dengan keadaan itu.  Jika dia tahu begini jadinya, lebih baik dia mengikut saja saranan Datin Raja Fatimah tadi yang menyuruh Pak Din menghantarnya pulang.
            “Abang Haziq…..sampai bila nak tunggu kat sini.  Zureen nak baliklah.  Zureen dah rindu sangat dengan umi dan baba.  Jomlah!”, Zureen cuba berlembut.  Nampaknya Haziq memang benar-benar tengah berserabut.  Tidak berani pula untuk terus berbalah.  Nanti lain pula jadinya.  Abang angkatnya itu pun sukar juga untuk diduga moodnya.
            Hishh!  Ingatkan dapat lari sekejap dari mamat sejuk beku tu, dapatlah aku nak release tension sekejap, tapi mamat seorang ni pulak buat perangai.  Hai, apalah nasib!  Omel Zureen.
            “Zureen….”, mendatar sahaja suara Haziq memanggil Zureen.  Terasa seperti amat payah untuk dia menyambung kata-katanya.
            “Ya?”
            Sunyi seketika.
            “Kita kahwin!”
            “Hah?”
            Mulut Zureen melopong.  Tidak percaya dengan kata-kata yang baru saja didengarnya. 
            Apa kena dengan abang Haziq ni.  Dia betul ke tak?
            Akhirnya Zureen ketawa.  Nak berguraulah pulak! 
            “Abang Haziq….dah kenapa ni?  Kalau ye pun nak bergurau, dah tak ada benda lain lagi ke nak diguraukan?  Tak kelakar langsunglah!...”, balas Zureen dalam ketawa.
            I’m serious.  Kita kahwin”, nada suara Haziq masih mendatar.  Dia memusingkan badannya menghadap Zureen yang sudah pucat wajahnya.
            Zureen membisu.  Tidak tahu apa yang harus dikatakan.  Kata-kata yang keluar dari mulut abang angkatnya sangat tidak diduga.  Tiba-tiba sahaja badannya menjadi seram sejuk.  Peluh dingin mula mengalir keluar.
            Ya Allah….kejutan apa pulak yang aku terima ini?  Belum lagi hilang kejutan daripada Syed Redza, kini abang Haziq pula menambahkan lagi kejutan.  Aku tak bersedia untuk menerima kejutan demi kejutan ini Ya Allah…..rintih Zureen dalam hati.
            Seperti baru tersedar akan perubahan diri Zureen, Haziq segera menjelaskan keadaan.  Dia tahu, pasti Zureen sangat terkejut ketika itu apabila mendengar luahan hati yang dia sendiri tidak menyangka akan keluar dari mulutnya. 
            Selama ini dia cuba menahan hati dari mengucapkan kata-kata seperti ini, tetapi perlakuan Syed Redza yang semakin terang-terangan menunjukkan perasaan hatinya pada gadis kesayangannya itu, menyebabkan dia tidak mampu bertahan lagi.
            Sudah tentu Zureen akan terkejut mendengar kata-katanya itu kerana selama ini dia tidak pernah secara terang-terangan menyatakan isi hatinya.  Walaupun banyak kali dia cuba menyampaikannya secara berkias, tetapi nampaknya gadis itu tidak pernah ambil serius kiasannya itu dan sentiasa menganggap dirinya bergurau.
            “Zureen…kenapa ni?  Please Zureen.  Jangan takutkan abang…”, Haziq cuba untuk meredakan keadaan Zureen yang dilihatnya pucat lesi.  Gadis itu kelihatan sedang dalam ketakutan.
            Zureen terus membisu.  Hati Haziq bertambah tidak keruan melihat keadaan Zureen yang tiba-tiba seperti terpukau dan tambah meresahkan Haziq apabila dilihatnya titisan air mata mula membasahi pipi gadis kecil molek kesayangannya itu.
            Zureen tiba-tiba sahaja keluar dari kereta Mitsubishi Lancer berwarna putih itu.  Seboleh-bolehnya dia ingin melarikan diri seketika dari abang angkatnya, tetapi ke manalah kakinya mampu melangkah?  Berhenti di tepi highway second link, sejauh manalah dia mampu berlari.  Beberapa langkah sahaja dia mampu berlari, dan akhirnya kakinya terhenti melangkah setelah menyedari tindakan itu hanya akan memenatkan dirinya.
            Haziq yang panik melihat tindakan spontan Zureen itu, turut sama keluar dari kereta dan mengejar Zureen.  Dia juga berhenti mengejar setelah melihat Zureen berhenti berlari.  Dengan perlahan dia menghampiri Zureen.  Hatinya sendiri berdebar-debar melihat penerimaan Zureen terhadap kata-katanya.
            “Zureen....please stop!  Jangan buat macam ni.  Bahaya.  Kita sekarang di tepi highway…kereta banyak yang lalu lalang.  Semuanya laju-laju…”, Haziq cuba memujuk.  Dia bimbang jika adik angkatnya itu mengambil tindakan yang bodoh.
            Zureen terus membatukan diri dengan berdiri membelakangkan abang angkat.  Tidak sanggup memandang wajah Haziq ketika itu.  Dia merasa amat malu walaupun bukan dirinya yang sepatutnya merasa malu.
            Melihatkan keadaan Zureen yang semakin tidak menentu, akhirnya Haziq mengalah.
            “Ok..ok…abang minta maaf.  Abang tak sepatutnya cakap macam tu pada Zureen.  Zureen lupakanlah kata-kata abang tu.  Abaikan saja.  Anggaplah Zureen tak pernah dengar apa yang abang cakap tadi.  Dah, jom abang hantar Zureen balik…”, akhirnya Haziq mengalah walaupun hatinya sendiri tidak bersetuju dengan kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulutnya.
            Biarlah nanti sahaja.  Mungkin masa masih tidak sesuai untuk membicarakan perkara ini.  Jauh di sidut hatinya, dia merasa amat kesal dengan tindakannya.  Tindakannya yang tergesa-gesa itu telah menyebabkan apa yang dirancang dan diatur selama ini punah dalam sekelip mata.
            Haziq segera mendapatkan Zureen.  Dipujuknya lagi gadis itu.  Akhirnya Zureen akur juga.  Dia kembali melangkah longlai masuk ke dalam kereta abang angkatnya. 
            Sebaik sahaja Zureen melangkah masuk ke dalam kereta, Haziq kembali memandu untuk menghantar Zureen pulang.  Di sepanjang perjalanan pulang, kedua-duanya hanya membisu lebih-lebih lagi Zureen.  Berbeza dengan keadaannya tadi yang becok bercerita.
            Sesampainya mereka di halaman rumah orang tua Zureen, kelihatan uminya, Hajah Aminah sudah sedia menunggu.  Tidak sabar benar hatinya menunggu kepulangan puteri bongsu kesayangannya itu.  Biarpun hanya seminggu, tetapi seperti sudah berbulan-bulan dia terpisah dengan Zureen.
            Sebelum turun dari kereta, Haziq sempat mengingatkan Zureen.
            “Zureen…lap air mata tu betul-betul.  Jangan sampai umi tahu Zureen menangis.  Nanti apa pula yang difikirkannya..”, Haziq cuba mengingatkan Zureen.
            Zureen beberapa kali mengusap-usap matanya.  Dia sendiri pun tidak mahu umi dan babanya menyangka yang bukan-bukan.  Seboleh-bolehnya dia memang tidak mahu menangis, tetapi kejutan yang diterimanya itu telah menyebabkan air matanya mengalir juga.
            Setelah pasti wajahnya tidak kelihatan seperti orang yang menangis, Zureen segera turun dari kereta dan terus sahaja meluru ke arah uminya.  Dipeluk uminya erat-erat.  Apa lagi, sekali lagi air matanya tumpah.  Perasaan yang bercampur baur antara kejutan-kejutan yang diterimanya tadi dan ditambah pula dengan perasaan rindu terhadap umi dan babanya, menyebabkan air matanya menjadi begitu murah sekali.
            Hajah Aminah juga membalas pelukan puteri bongsunya itu walaupun di dalam hatinya juga sedikit pelik melihat Zureen yang bersungguh-sungguh benar menangis.  Rindu sangatkah dia pada orang tuanya?  Atau tangisannya itu melambangkan bebanan perasaan yang ditanggung anak gadisnya.  Melihat pula keadaan Haziq yang berdiri terpaku di sisi keretanya dengan wajah yang agak keruh, hatinya kuat mengatakan memang ada sesuatu yang telah berlaku.  Sebagai orang tua yang sudah lama makan garam, sekilas tingkah laku kedua-dua anak muda itu, dia seperti sudah boleh mengagaknya.  Namun, tidak mahu terburu-buru bertanya, dipendamkan sahaja persoalan itu di dalam hatinya.
            “Zureen nak peluk umi sampai bila ni?  Kenapa pulak yang beria-ia menangis ni?  Rindu sangat ke kat umi dan baba?  Dah…dah…mari kita masuk dulu.  Nanti apa pulak kata jiran-jiran kita…”, Hajah Aminah cuba berseloroh bagi meredakan tangisan anak gadisnya.
            “Haziq…kenapa pulak berdiri aje kat situ?  Tak nak masuk dulu ke?  Dahlah mari kita masuk.  Kita makan tengahari dulu.  Mesti belum makan ni kan?  Umi masak special hari ni sebab nak menyambut tuan puteri bongsu sorang ni….jom masuk”, Hajah Aminah cuba menegur anak angkatnya yang sedari tadi diam membisu.  Memang lain benar sikapnya hari ini.  Berbeza dari sikapnya yang biasa.
            Hajah Aminah meleraikan pelukan Zureen.  Dipimpinnya anak gadisnya itu masuk ke dalam rumah dengan diikuti Haziq dari belakang sambil menjinjing beg pakaian Zureen.  Zureen bersalaman pula dengan babanya.  Sekali lagi, babanya juga dipeluk erat tetapi tidak lama kerana bimbang babanya pula dapat menghidu apa yang telah berlaku.  Haziq turut sama bersalam dengan bapa angkatnya, Haji Zailan.
            “Jomlah kita makan dulu…”, Hajah Aminah mempelawa.
            “Err…tak apalah umi.  Zureen ingat nak mandi dan solat zohor dululah.  Umi, baba dan abang Haziq makan dululah.  Badan ni dah terasa melekit sangat”, Zureen cuba memberi helah kerana dia belum bersedia untuk berhadapan lagi dengan abang angkatnya setelah apa yang berlaku tadi.
            “Kalau macam tu, marilah Haziq kita makan dulu”, Hajah Aminah mempelawa pula anak angkatnya.
            “Err…umi..baba…saya pun nak tumpang solat zohor dulu.  Umi dan baba makan dululah,,”, Haziq pula memberi helah.
            Pulak?  Memang sahlah.  Ni mesti ada sesuatu yang mereka nak sembunyikan dari aku, bisik Hajah Aminah.
            “Hah…elok juga kita semua solat zohor dulu.  Kita solat berjemaah kat ruang tamu.  Pergi ambil wuduk dulu”, saran Haji Zailan.  Jika ikutkan dirinya memanglah lebih baik mereka solat dahulu sebelum makan tengahari tetapi bimbang jika anak gadis dan anak angkatnya itu sudah kelaparan kerana waktu untuk makan tengahari sudah agak lewat.
            Dengan penuh keterpaksaan, Zureen melangkah masuk menuju ke biliknya kerana seboleh-bolehnya dia ingin bersolat sendirian di biliknya.  Dia ingin mencari ketenangan seketika.  Badannya tiba-tiba sahaja terasa amat letih.  Mungkin akibat kejutan demi kejutan yang diterimanya sebentar tadi ditambah pula kerinduan pada biliknya.
            Setelah lengkap bertelekung, Zureen turut menyertai baba, umi dan Haziq yang telah sedia menunggunya dari tadi.  Haziq terus sahaja melaungkan qamat dan Haji Zailan terus sahaja mengimamkan solat zohor.

8 comments:

  1. Best!!! sambung la lagi cik writer...

    ReplyDelete
  2. best,, cpt2 wat sambungan nye ye,,,

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kpd Azrina & Nor Laila....
    Sabar ye....memang tengah pulun sangat2 ni.....

    ReplyDelete
  4. smkin menarik jln cterny,,suke2~~ ^_~ truskn mnulis Cikgu Shila =)

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Hanis....Insyallah bab2 seterusnya pasti lbh suspen & penuh konflik....teruskan membaca ye....tq

    ReplyDelete
  6. ye ye ye, sya bleh bca... haha
    best writer..
    bila nk kluar nvl nih.. x sbar nk tau ending dia..
    upload la lgi episod bru..

    ReplyDelete
  7. Haaa...boleh pun Ruunna....Alhamdulillah....dah tinggalkan komen kat bab 19 ni, maknanya dah boleh baca semua bablah ye...Insyallah, semoga harapan pembaca ni menjadi kenyataan....sabar ye sbb jalan ceritanya masih terlalu panjang & penuh dgn konflik....episod 20 on the way.....

    ReplyDelete
  8. wah!! bestnyer cite ni...... x sabar rasanyer nak tau sambungan bab .... hehehe.. good luck semoga dpt menulis banyak novel lagi ^__^

    ReplyDelete

ASSALAMUALAIKUM....
Sila tinggalkan komen anda di sini.
SATU pun jadilah!...hehe
Semoga komen yang ikhlas dapat membantu saya.
TQ

COPYRIGHT(C)KARYA ANDAI ITU TAKDIRNYA DAN SEGALA YANG TERTERA DI ATAS ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN