Blogger Widgets

BAB 18



            Sungguh pantas masa berlalu.  Pejam celik pejam celik, tanpa disedari sudah hampir seminggu Zureen bertugas di banglo mewah itu.  Pelbagai kerenah lelaki itu yang terpaksa dihadapinya.  Semuanya diatasi dengan penuh kesabaran dan profesional.  Satu perkara yang tidak dapat Zureen nafikan, sememangnya sikap Syed Redza ada sedikit perubahan.  Dia lebih banyak akur dari membantah segala arahan Zureen.  Walaupun,  masih ada kata-kata kesat dan kasar, tetapi semua seperti sudah menjadi alunan irama di telinga Zureen.
            Pagi itu hatinya lebih riang dari biasa.  Apataknya, hari ini hari Sabtu dan Zureen hanya akan bekerja separuh hari.  Selepas itu, dia akan pulang ke rumahnya.  Inilah kali pertama dia akan pulang ke rumah semenjak menjadi seorang jururawat peribadi.  Biarpun baru seminggu, tetapi perasaan rindu terhadap umi, baba dan paling utama biliknya tidak dapat dibendung lagi.  Walaupun hanya cuti satu hari setengah, tapi bagi Zureen itu sudah cukup menggembirakan hatinya.
            Pagi-pagi lagi, Haziq sudah menelefonnya.  Haziq yang akan menjemputnya.  Walaupun Zureen menolak, Haziq tetap berkeras hendak menjemputnya.  Malas untuk berbalah, akhirnya Zureen terpaksa akur.  Biarlah kalau Haziq yang ingin menjemputnya kerana dia terasa segan pula apabila Datin Raja Fatimah menyuruh pemandunya menghantar Zureen pulang.  Terasa macam ‘mem’ besar pula bila driver yang menghantarnya.
            Zureen menjalankan rutin hariannya seperti biasa.  Dia perlu menyiapkan tugasnya sebelum jam satu petang kerana menurut Haziq tepat jam satu dia akan menunggu di hadapan banglo mewah itu.  Seboleh-bolehnya dia tidak mahu abang angkatnya itu menunggu terlalu lama di luar kerana dia tidak mahu Datin Raja Fatimah akan menyuruh abang angkatnya masuk ke banglo itu.  Bimbang jika terjadi lagi insiden yang tidak diingini diantara Syed Redza dan abang angkatnya lagi.
            Tugas terakhir Zureen sebelum pulang adalah menghantar hidangan makan tengahari kepada Syed Redza.  Memang hari ini dia sengaja menghantar hidangan itu awal supaya dia dapat terus pulang jam satu petang nanti.  Lebih kurang jam 12.30 tengahari, hidangan sudah siap terhidang di atas meja di balkoni bilik Syed Redza.  Memang di situlah tempat dia makan.
            Zureen terus sahaja menyorong kerusi roda Syed Redza ke balkoni.  Memang sudah menjadi rutinnya untuk menunggu Syed Redza makan sehinggalah lelaki itu selesai makan.  Hatinya agak resah apabila lelaki itu lambat untuk makan.  Beberapa kali dia menjeling jam tangannya.  Bukanlah dia berkira soal masa tetapi sebenarnya apa yang amat membimbangkannya jika abang angkatnya dipelawa masuk setelah dirinya dilihat menunggu di luar pagar banglo mewah itu.
            “Kenapa awal sangat makan hari ni?”, soal Syed Redza pelik.
            Syed Redza dapat menghidu keresahan Zureen apabila gadis itu asyik mencuri pandang jam di tangannya.
            Zureen agak serba salah untuk menjawab soalan lelaki itu kerana dia bimbang sesi soal jawab yang tidak berkesudahan akan semakin melambatkan dirinya.
            “Aku tanya, kenapa makan awal sangat?  Yang kau ni asyik tengok jam tangan kau ni kenapa?”, soal Syed Redza lagi tetapi kali ini nada suaranya agak keras.  Memang menjadi pantang lelaki itu apabila soalannya tidak dijawab.
            Aduh!  Macam mana nak jawab ni?  Dia tak tahu ke yang hari ni aku kerja setengah hari aje?
            “Err…sebenarnya hari ni saya cuma bertugas setengah hari.  Sekejap lagi saya nak balik ke kampung saya….”, jawab Zureen agak gugup.  Di dalam hatinya berdoa agar isu ini tidak dipanjangkan oleh Syed Redza lagi.
            “Kerja setengah hari?  Balik kampung?  Apa kau ingat kau kerja pejabat ke?  Ada pulak setengah-setengah hari….”, soal Syed Redza tidak berpuas hati.
            “Datin tak beritahu Encik Redza ke?  Memang itulah yang datin beritahu saya masa mula-mula saya nak bekerja dulu…”, balas Zureen lembut masih cuba mengawal nada suaranya.
            “Itu semua aku tak mahu tahu.  Aku tahu tugas kau di sini adalah sebagai jururawat peribadi aku.  Ini bermakna kau mesti ada 24 jam di rumah ini.  Bila-bila masa saja aku perlukan kau, kau mesti datang.  Faham?”
            Ya Allah dia dah mula lagi dah!  Macam mana aku nak balik ni?
            “Encik Redza…saya di sini adalah sebagai seorang pekerja.  Tak kiralah apa pun jawatannya.  Bila sudah bergelar pekerja, mestilah ada time rehatnya, time cutinya sebab yang bekerja ni bukanlah robot tetapi manusia.  Encik Redza pun pernah bekerja kan?  Apa Encik Redza tak pernah ambil cuti ke?”, nada suara Zureen sudah mula bergetar.  Zureen menjeling lagi jam tangannya.  Aduh!  Dah pukul 12.50 tengahari.
            “Aku tak izinkan kau pergi mana-mana.  Hari ni kau mesti temankan aku!”,tegas Syed Redza.
            “Apa Encik Redza ingat saya ni orang suruhan atau perempuan simpanan Encik Redza?  Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya di sini adalah sebagai jururwat peribadi yang bertanggungjawab tentang kesihatan Encik Redza dan bukannya menjadi penunggu setia Encik Redza.  Come onlah Encik Redza.  Cubalah jadi matang.  Saya rasa bukan Encik Redza tak tahu tapi sengaja tak mahu tahu kan?  Kenapa Encik Redza tak habis-habis mendera perasaan saya.  Saya dah letihlah nak melayan perangai budak-budak Encik Redza ni”, luah Zureen dengan nada yang agak tinggi.  Sememangnya kesabarannya selama ini telah sampai ke kemuncaknya.
            Syed Redza terdiam seketika.  Tidak pernah dia melihat gadis itu marah sehingga begitu sekali.
            Now you tell me why did you do this to me all this while?  Apa salah saya?  Adakah perkhidmatan saya masih tidak cukup baik untuk Encik Redza lagi?  Cakaplah!  Kenapa Encik Redza diam?”,Zureen separuh menjerit.  Mujur dia masih boleh mengawal dirinya.  Jika tidak memang dia akan menjerit sekuat hatinya bagi melepaskan geramnya.
            “Kau nak tahu kenapa?”, soal Syed Redza perlahan.  Kali ini suaranya agak tenang.
            “Ye…beritahu saya sekarang kenapa….”
            “Sebab aku dah mula sukakan kau…”,balas Syed Redza sambil merenung tepat wajah Zureen yang tiba-tiba sahaja menjadi pucat.
            “Apa Encik Redza cakap?”,soal Zureen gementar.
            “Aku rasa telinga kau belum pekak lagi.  Suara aku cukup kuat untuk kau dengar apa yang aku cakapkan tadi”
            Zureen terdiam seribu bahasa.  Lidah menjadi kelu.  Ungkapan Syed Redza itu benar-benar memeranjatkannya.  Perkara yang cuba dihindari sejak dari awal lagi, akhirnya berlaku juga.
            Tiba-tiba sahaja pintu bilik Syed Redza dikuak.  Kelihatan Datin Raja Fatimah berjalan masuk ke dalam bilik anak terunanya.
            “Zureen dah siap?  Abang Zureen dah sampai tu.  Dia ada kat bawah tunggu Zureen”, soal Datin Raja Fatimah.
            Soalan Datin Raja Fatimah membuat Zureen hampir pengsan.  Kejutan dari Syed Redza belum habis lagi.  Kini Datin Raja Fatimah pula memberikan satu lagi kejutan.  Mujur dia tak ada penyakit jantung.  Kalau tidak rasanya dia sudah keras di situ. 
            “Redza tak makan lagi ke?”, soal Datin Raja Fatimah apabila melihat hidangan tengahari belum lagi terusik.
            Kehadiran Datin Fatimah yang secara tiba-tiba itu telah menjadi penyelamat untuk Zureen.  Sudah pasti Datin Raja Fatimah tidak menyedari pergeseran yang sedang berlaku.
            Melihatkan Zureen yang dalam keadaan serba salah, Datin Raja Fatimah bersuara lagi.
            It’s ok Zureen.  Zureen boleh balik sekarang.  Kesian abang Zureen dah tunggu lama kat bawah tu.  Lagi satu, jangan suruh abang Zureen tunggu kat luar pagar.  Suruh dia tunggu di dalam.  Nasib baik Siti nampak tadi.  Auntie tak tahu pulak yang abang Zureen nak datang jemput Zureen.  Lain kali tak payahlah menyusahkan abang Zureen.  Pak Din kan ada.  Dia boleh tolong hantar Zureen balik.  Bukan jauh sangat pun rumah Zureen tu…”,Datin Raja Fatimah terus bercakap tanpa menyedari wajah anak terunanya yang semakin kelat dan Zureen yang semakin tidak keruan.
            Apa yang dibimbangkan Zureen akhirnya berlaku juga.  Apabila mendengar abang angkatnya sudah berada di bawah, bermakna apa yang sangat dibimbanginya pasti akan berlaku.  Apatah lagi apabila melihat Syed Redza merenungnya dengan sangat tajam seolah-olah sedang memberi amaran kepadanya.
            “Eh, kenapa ni Zureen?  Kenapa muka pucat ni?”, Datin Raja Fatimah bertanya pelik melihat reaksi Zureen.  Serentak dengan itu dia berpaling melihat Syed Redza pula.
            Seolah-olah mengerti ketegangan yang sedang berlaku, Datin Raja Fatimah segera mendapatkan Zureen dan menghantarnya ke muka pintu.
            “Zureen turun dulu.  Sekejap lagi auntie turun.  Zureen jangan balik dulu ye.  Tunggu auntie sekejap…”
            Setelah Zureen meninggalkan bilik itu, Datin Raja Fatimah segera mendapatkan anak bujangnya yang sedang menahan marah itu.
            “Kenapa Redza tak makan lagi?  Dah sejuk semua lauk-pauk tu…”, Datin Raja Fatimah memulakan bicara dengan anak bujangnya yang sedari tadi membisu.
            “Kenapa mama izinkan dia balik?”, soal Syed Redza tiba-tiba.
            “Eh, kenapa pulak?  Hari ni kan dia half day.  Dah tentulah mama benarkan dia balik.  Lagipun, mama dah janji dengan Zureen.  Dia cuma perlu kerja lima hari setengah seminggu.  Takkanlah mama nak suruh Zureen kerja tujuh haru seminggu…”, balas Datin Raja Fatimah yang sudah mula dapat menghidu bibit-bibit cemburu di hati anak bujangnya.
            “Habis tu siapa yang nak uruskan Redza masa dia tak ada?”
            Datin Raja Fatimah hanya tersenyum mendengar soalan anak bujangnya.  Lucu pula mendengar soalan itu.  Dah tua bangka begini masih tidak tahu untuk mengurus diri sendiri.
            “Siapa lagi?  Mamalah…”
            Syed Redza merengus.
            “Kenapa ni?  Apa yang sebenarnya Redza bimbangkan?”
            “Kalau dia tak balik semula ke sini, macam mana?”
            “Kita jemput kat rumah dia.  Bukan jauh sangat pun…”, Datin Raja Fatimah sengaja melayan resah anak bujangnya kerana dia pasti Zureen tidak akan melakukan perkara yang dibimbangi Syed Redza.
            “Mama tahu ke kat mana rumah dia?”, soal Syed Redza lagi.  Dia masih tidak berpuas hati lagi.
            “Kalau kat London pun mama boleh cari dia…”
            “Mama…I’m serious ok…”
            “Apa Redza ingat mama main-main ke?”, balas Datin Raja Fatimah.  Seronok pula dapat mempermainkan anak bujangnya.
            Hmmm….memang sah!  Kalau perangai yang garang tak tentu fasal, tapi tiba-tiba saja boleh berubah begini, sudah pasti ini penangan cinta!
            “Dahlah sayang…tak payah nak risau tak tentu fasal.  Insyallah Zureen tak akan buat macam tu.  Mama kenal dia….”, akhirnya Datin Raja Fatimah memujuk anak bujangnya.  Tidak sampai hati pula melihat dia resah begitu.  Melihatkan perubahan anaknya yang selama ini hanya membisu, dan kini tidak lokek untuk bersuara pula, sudah cukup melegakannya.
            “Redza makan dulu ye.  Mama nak turun kejap.  Mama nak tengok Zureen balik.  Nanti apa pula kata abangnya…”
            “Redza pun nak turun…”
            Datin Raja Fatimah amat terkejut.  Tidak disangkanya anak bujangnya juga ingin turun ke bawah.  Sudah sekian lama Syed Redza tidak menjejakkan kakinya ke bawah semenjak dia sedar dari koma dahulu.
            “Macam mana Redza nak turun?  Redza boleh jalan ke?”,soal Datin Raja Fatimah bimbang.
            “Tolong ambilkan tongkat Redza…”, pinta Syed Redza nekad.
            Walaupun agak ragu-ragu dengan permintaan anak bujangnya, tetapi Datin Raja Fatimah akur juga.  Dicapainya tongkat tetapi teragak-agak untuk diberikan kepada Syed Redza.
            “Redza….are you sure?
            Syed Redza hanya tersenyum untuk melegakan kerisauan mamanya walaupun di dalam hatinya sedang membengkak ketika itu.  Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia berlari menuju ruang tamu tempat di mana ‘abang’ Zureen sedang menunggu.  Dia ingin melihat dengan matanya sendiri bagaimana caranya lelaki itu melayan Zureen dan dari situ dia boleh menilai sejauh mana kebenaran dakwaan gadis itu mengenai status hubungan lelaki itu dengan diri gadis itu.
            Datin Raja Fatimah memimpin anak bujangnya dengan berhati-hati.  Biarpun dia sangat pelik dengan tindakan Syed Redza, tetapi dia turutkan jua demi untuk tidak menghampakan perasaan anak bujangnya.  Tidak sampai hati pula melihat anak tunggalnya itu menjeruk rasa.
            Dengan penuh berhati-hati, akhirnya mereka sampai juga di bahagian ruang tamu.  Kelihatan Haziq sedang menunggu sambil membelek-belek majalah yang terdapat di situ.  Terlalu khusyuk membaca hingga Haziq tidak menyedari kehadiran kedua beranak itu.  Zureen masih tidak kelihatan.  Mungkin masih di bilik untuk mengambil beg pakaiannya.
            “Assalamualaikum….”, Datin Raja Fatimah memberi salam setelah mendapati Haziq tidak menyedari kehadiran mereka.
            “Waalai……kumsalam”, salam yang dijawab Haziq terhenti seketika akibat terkejut dengan kehadiran Syed Redza kerana setahunya lelaki itu memang tidak mampu berjalan.  Agak pelik dengan tindakan lelaki itu turun ke bawah.
            Matanya terpaku kepada lelaki yang bertongkat itu.  Seketika kedua-dua lelaki itu saling berbalas renung.  Episod saling berbalas renung tempoh hari nampaknya berulang lagi.  Haziq menjadi serba salah.  Tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu.  Hendak bersapa, pandangan lelaki itu sudah cukup menunjukkan dia tidak sudi untuk ‘beramah mesra’ dengan dirinya.  Hendak buat tidak tahu, rasanya kurang sopan pula.  Apatah lagi, Datin Raja Fatimah juga ada di situ.
            Bertindak mengikut fikirannya yang rasional, Haziq bangun dan menghulurkan tangan kepada Syed Redza sambil memperkenalkan dirinya.
            “Haziq Daniel…”, pendek saja Haziq memperkenalkan dirinya.
             Lambat-lambat Syed Redza menyambut huluran tangan Haziq.  Mujur ketika itu dia juga mampu berfikir secara rasional.  Tidak mahu merendahkan martabat dirinya dengan berkelakuan angkuh dan sombong, dia juga memperkenalkan dirinya.
            “Redza….Syed Redza..”, balasnya juga pendek dan bernada agak tegas.  Tiada senyuman yang mengiringi sesi perkenalan yang penuh keterpaksaan itu.  Datin Raja Fatimah pula hanya jadi pemerhati.
            “Eh, kenapa berdiri?  Duduklah Dr. Haziq.  Jemput minum…”, seperti menyedari ketegangan pada suara anak bujangnya, Datin Raja Fatimah cepat-cepat mengendurkan suasana yang mulai tegang itu.
            “Terima kasih datin…”, jawab Haziq cuba menunjukkan kemesraannya.  Seboleh-bolehnya dia tidak manu terikut-ikut dengan lagak anak bujang Datin Raja Fatimah.
            Ketika itu juga kelihatan Zureen berlari anak menuruni tangga sambil ditangannya menjinjing beg pakaiannya.  Syed Redza menjeling Zureen seketika apabila melihat gadis itu begitu riang dan kelihatan tidak sabar menuruni anak tangga.
            Langkah Zureen tiba-tiba terhenti sebaik sahaja terpandangkan Syed Redza.  Dia agak terkejut kerana tidak menyangka Syed Redza boleh berada di situ.  Selama hampir seminggu dia merawat lelaki itu, tidak pernah sekali pun lelaki itu meninggalkan biliknya kecuali untuk menjalankan rawatan fisioterapi di bilik bersebelahan dengan biliknya.  
            Zureen cuba bertenang dan berlagak selamba walaupun di dalam hatinya hanya tuhan saja yang tahu.  Berdebar, gementar, resah dan pelbagai lagi perasaan bersatu di dalam hatinya.  Dia berjalan perlahan menuju ke arah ruang tamu.  Langkahnya tidak seriang dan selaju tadi.  Semua mata tertumpu padanya walaupun setiap satu pandangan memberi cerita yang berbeza-beza.  Dia yang santai tanpa beruniform, membuatkan penampilannya agak berbeza dari biasa.
            “Zureen dah siap?”, sapa Datin Raja Fatimah cuba untuk memecahkan suasana yang tiba-tiba sahaja menjadi sunyi seperti baru dilanggar garuda.
            “Dah auntie…..”, jawabnya gugup.  Gugup akibat renungan maut Syed Redza.
            Menyedari renungan yang agak mencurigakan, Haziq segera meminta diri untuk pulang.  Tidak boleh berlama-lama di situ!  Bahaya!
            “Err…datin…Encik Redza, Zureen pun dah siap…so kami minta diri dulu..”,Haziq sekadar berbasa-basi.
            Datin Raja Fatimah yang seolah-olah mengerti akan ketidakselesaan Haziq hanya mengangguk tersenyum.  Berbeza dengan anak bujangnya, lelaki itu dilihat agak kurang senang dengan tindakan Haziq.
            Zureen bersalaman dengan Datin Raja Fatimah.  Tanpa diduga huluran salamnya telah dibalas dengan pelukan oleh Datin Raja Fatimah.  Wanita itu memeluknya dengan begitu erat sekali seolah-olah enggan melepaskan Zureen pulang.  Zureen yang agak terkejut dengan tindakan Datin Raja Fatimah itu, juga membalas pelukan wanita itu walaupun di hatinya timbul seribu tanda tanya terhadap tindakan wanita itu.
            Aku bukannya nak balik sebulan.  Setakat sehari aje!  Zureen berbisik sendiri.
            Sebaik sahaja pelukan dileraikan, Zureen menjadi semakin serba salah.  Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada ‘pesakit istimewa’nya yang sedang berdiri merenungnya dengan pandangan yang tajam menikam.  Hendak terus pulang tanpa sepatah kata kepada lelaki itu, terasa kurang sopan pula.  Hendak berkata sesuatu, tidak tahu apa pula yang harus dikatakan kerana dia bimbang jika tersilap cakap, memang nahas!  Akhirnya, Zureen mengikut apa yang terlintas di fikirannya ketika itu.
            “Encik Redza….saya minta izin balik dulu.  Insyallah, esok saya balik semula ke sini.  Jangan lupa makan ubat.  Semuanya saya dah aturkan dalam bekas ubat.  Encik Redza cuma perlu makan ikut waktu yang saya dah labelkan….”, akhirnya hanya kata-kata nasihat yang terkeluar dari bibir mongel gadis itu.  Terasa seperti mak-mak yang berpesan pada anak-anaknya sepanjang peninggalan si emak pergi keluar bekerja pulak!
            Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang respon.  Dia diam tidak berkutik.  Entah kenapa Zureen dapat mengesan riak resah di wajah lelaki itu tetapi cuba disorokkan di sebalik wajah serius dan renungan tajamnya.
            “Aku tunggu kau balik……”, ringkas dan padat kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Syed Redza. 
            Matanya redup merenung Zureen.  Dia langsung tidak mempedulikan mamanya yang agak ternganga mulut memandangnya dan Haziq yang merenungnya dengan seribu satu persoalan.  Sememangnya amat sukar ditafsirkan akan kata-kata yang sepatutnya amat mudah difahami itu.
            Dan…orang yang paling terkejut dengan kata-kata dari Syed Redza itu adalah Zureen sendiri.  Kenapa dia cakap macam tu?  Apa maksud kata-katanya?  Getus Zureen

2 comments:

ASSALAMUALAIKUM....
Sila tinggalkan komen anda di sini.
SATU pun jadilah!...hehe
Semoga komen yang ikhlas dapat membantu saya.
TQ

COPYRIGHT(C)KARYA ANDAI ITU TAKDIRNYA DAN SEGALA YANG TERTERA DI ATAS ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN