Blogger Widgets

BAB 15




            Zureen memulakan rawatan fisioterapi di bilik fisioterapi.  Dia sendiri tidak menyangka lelaki itu tiba-tiba sahaja akur terhadap arahannya tanpa banyak songeh seperti biasa.  Sememangnya sikap dan perangai lelaki itu sukar untuk dijangka.  Seperti air laut.  Sekejap pasang dan sekejap pula surut.
            So sementara mood dia tengah pasang ni, baik aku cepat-cepat buat rawatan ni sebelum dia berubah fikiran lagi”, bisik Zureen.
            Zureen membantu Syed Redza untuk bangun dari kerusi rodanya.  Lelaki itu dipapah ke tempat duduk yang disediakan.  Kaki seluar di sebelah kanannya dilipat sedikit hingga ke paras betis untuk memudahkan Zureen mengurut seketika kaki lelaki itu sebelum menjalankan rawatan fisioterapi.
            Zureen perlu berhati-hati ketika mengurut kaki Syed Redza.  Tidak boleh terlalu kuat kerana kaki lelaki itu telah dimasukkan besi.  Bahagian hujung kakinya digerakkan perlahan-lahan untuk melembutkan bahagian ototnya.  Zureen langsung tidak memandang wajah Syed Redza ketika mengurut kaki lelaki itu.  Bimbang jika kerjanya terbantut sebaik terlihat wajah serius lelaki itu.  Apa yang menghairankan Zureen ketika itu, lelaki itu langsung tidak berbunyi.  “Hek” tidak “hok” pun tidak.
            “Memang pelik betul mamat ni pagi ni….tapi oklah.  Daripada dia mengutai tak tentu fasal, lebih baik dia jadi bisu macam ni.  Senang sikit kerja aku…”,bisik Zureen di dalam hati tanpa menyedari dirinya sedang asyik diperhatikan.
            Syed Redza pula ralit memerhatikan gadis kecil molek itu mengurut kakinya.  Dia dapat melihat Zureen pagi ini pada sudut dan perspektif yang agak berbeza dari semalam sejak terpandang Zureen bersenam dan berenang pagi tadi.  Entah kenapa hatinya kini begitu senang sekali apabila melihat gadis itu.  Tiba-tiba sahaja suatu perasaan telah menyelinap masuk ke dalam hati dan terus sahaja meresap ke seluruh tubuh badannya.
            “Berapa umur kau?”, tiba-tiba sahaja Syed Redza bersuara.
            Zureen yang agak tersentak dengan soalan Syed Redza, secara spontan melihat wajah lelaki itu.  Pelik!  Seingat-ingatnya, ini kali kedua Syed Redza bertanyakan umurnya.
            Zureen agak gerun melihat cara Syed Redza memandangnya.  Sukar untuk ditafsirkan makna renungan itu.  Apa yang pasti, kecut perutnya melihat pandangan lelaki itu.  Terasa seperti ada rama-rama yang riang berterbangan di dalam perutnya ketika itu.  Geli!
            “Kau tak dengar ke aku tanya?”,ulang Syed Redza.  Kali ini suaranya sedikit keras.
            Bimbang jika suasana yang agak aman itu bertukar tegang, Zureen akhirnya menjawab.
            “22…”, jawab Zureen pendek.
            “Betul ke umur kau 22 tahun?”,soal Syed Redza lagi.  Sememangnya dia tidak percaya.  Sikap dan perangai gadis itu jauh lebih matang dari usianya.
            “Nak tengok ic saya ke?”,jawab Zureen selamba sambil tangannya terus mengurut kaki lelaki itu.
            Senyuman terukir di bibir Syed Redza.  Lucu dengan jawapan spontan gadis itu.  Bagitu selamba ‘dek’!
            “Kenapa kau pilih jadi jururawat peribadi aku?”
            Ini sesi temuduga kedua ke?  Yela…hari tu mama dia aje yang interview aku!  Getus Zureen.
            Correction…bukan ‘nak’ jadi jururawat peribadi Encik Redza tapi saya memohon untuk jadi jururawat peribadi kepada sesiapa saja…dan telah ditakdirkan saya jadi jururawat peribadi untuk Encik Redza…”, jawab Zureen selamba.  Dia agak kurang senang dengan soalan kedua Syed Redza itu kerana seolah-olah dirinya yang beria-ia hendak menjadi jururawat peribadi kepada lelaki angkuh itu.
            Syed Redza tersenyum lagi mendengar jawapan selamba dari Zureen.  Hmmm….semakin menarik.  Memang challenging budak ni!  Getus Syed Redza.
            “Kau menyesal ke jadi jururawat peribadi aku?”
            Zureen agak tersentap mendengar soalan Syed Redza itu.  Dia seperti baru tersedar.  Adakah jawapan aku tadi keterlaluan sangat?  Tiba-tiba perasaan menyesal menyelubungi dirinya.  Tidak sepatutnya dia melayan pesakitnya begitu sedangkan dia tahu salah satu komponen penting dalam rawatan fisioterapi adalah ‘terapi perasaan’.  Namun, akibat sakit hati dengan cara lelaki itu melayannya, dia sendiri tanpa sengaja telah menyebabkan lelaki itu terasa dengan kata-katanya.
            “Err…maafkan saya Encik Redza.  Saya tak sepatutnya cakap macam tu.  Honestly, saya tak pernah rasa menyesal dengan tugas baru saya ni, cuma sebagai manusia biasa, kadang-kadang saya rasa give up juga bila Encik Redza tak berikan kerjasama pada saya…”,jawab Zureen dengan perasaan bersalah.
            Kedengaran Syed Redza ketawa kecil.
            “Hei, come on!  No hard feeling ok….memang patut pun kau rasa macam tu..”
            Apa kena dengan mamat ni?  Pelik betul perangai dia.  Selalunya perangai macam hantu!  Aku bermimpi ke?  Hishh!!  Tak faham betul aku dengan perangai dia ni.  Mana satu perangai sebenar dia ni?  Aku salah bagi dia makan ubat ke?
            “Pandai kau berenang?  Kau memang suka berenang ye?”,Syed Redza semakin galak bertanya.  Dia memang berazam untuk mencungkil apa saja tentang gadis itu.
            Soalan Syed Redza benar-benar menyebabkan Zureen hampir pengsan.  Ya Allah, maknanya memang betullah dia nampak apa yang aku buat pagi tadi.  Dia nampak rambut aku?  Aduh!  Macam mana ni?  Mana aku nak letak muka aku ni?
            Rasa seperti hendak menangis ketika itu pun ada.  Air matanya cuba ditahan.  Selama ini dia cukup menjaga auratnya tetapi kenapa lelaki angkuh itu pula yang dapat melihatnya? 
            Silap aku juga.  Kenapa mudah sangat nak buka tudung?  Dahlah di tempat yang masih asing untuk aku, terbuka pula kawasannya.  Hishh!!  Kenapalah aku tak tengok betul-betul kat balkoni tu?  Zureen terus menyalahkan dirinya.
            “Err..En…cik Red..za n….nampak ke apa yang saya buat pagi tadi?”,soal Zureen tergagagap-gagap.  Dalam hati dia terus berdoa semoga ia tidak seperti yang difikirnya.
            “Apa yang pelik sangat kalau setakat aku tengok kau berenang?  Bukannya kau pakai bikini pun!”,soalan Syed Redza yang sinis itu membuatkan muka Zureen tambah merah.  Jika tidak mengenangkan dirinya sedang menjalankan rawatan fisioterapi, mahu saja dia melarikan diri dari terus berhadapan dengan lelaki itu.  Tidak sanggup rasanya untuk terus menanggung malu!
            “Rilekslah…apa yang kau panik sangat ni?”, soal Syed Redza setelah dilihatnya Zureen dalam keadaan tidak keruan.
            “Saya tak patut berenang tadi…..”, kedengaran suara Zureen seperti mahu menangis.
            “Apa masalah kau ni?  Apa yang serius sangat kalau aku nampak kau berenang?  Kau ni kadang-kadang aku tengok macam sosial tapi kadang-kadang perangai kau ni macam gadis pingitan pun ada.  Mana satu personaliti kau sebenarnya?”
            “Encik Redza tak faham dan tak akan faham.  Saya betul-betul menyesal.  Saya memang tak patut berenang tadi…”,luah Zureen kesal.
            “Kenapa?  Sebab aku dapat tengok rambut kau tu?  Isu besar sangat ke kalau aku dapat tengok rambut kau?  Betul ke kau memang tak pernah buka tudung kau tu?  Don’t tell me that guy pun tak pernah tengok rambut kau?  Kalau dia boleh sanggup datang ke sini, itu dah cukup membuktikan betapa dia cukup rapat dengan kau…”
            That guy?  Lelaki mana pulak yang dimaksudkan ni?  Abang Haziq ke?
            “Encik Redza….saya rasa Encik Redza tak berhak nak menyentuh soal peribadi saya.  Jangan persoalkan tentang saya nak menjaga aurat saya.  Ok to be honest, memang selama ni saya cukup menjaga aurat dan maruah diri saya.  Saya memang dididik dari kecil untuk menjaga itu semua.  Memang belum ada sesiapa yang pernah tengok aurat saya ni termasuk ‘that guy’ yang Encik Redza maksudkan kecuali adik beradik dan kaum keluarga terdekat saya sahaja….tetapi disebabkan kebodohan dan kelalaian diri saya sendiri, saya tanpa sengaja telah terbuka aurat yang cukup saya jaga selama ini…..memang saya sangat kesal tapi saya yakin Allah maha mengetahui….lagi satu, bila saya rapat dengan seseorang tu lebih-lebih lagi dia adalah lelaki yang bukan muhrim, tak bermakna dia berhak ke atas saya sampai dah tak tahu batasan…sampai nak tunjukkan aurat pulak…”,jawab Zureen panjang lebar sebagai usaha untuk mempertahankan dirinya dari terus dipandang rendah oleh lelaki angkuh itu.
            Zureen menarik nafas seketika untuk mententeramkan hatinya yang sudah mula beremosi.
            “Maaf Encik Redza….izinkan saya ke toilet sebentar..”
            Tanpa menunggu kebenaran dari Syed Redza, Zureen terus melarikan diri seketika ke tandas bagi menenangkan perasaannya.
            Syed Redza agak terkejut dengan tindakan drastik Zureen itu.  Kenapa gadis itu begitu sensitif sekali?  Dia tidak nampak sebab yang munasabah untuk Zureen berkelakuan begitu pelik.  Takkanlah disebabkan aku terlihat rambutnya boleh buat dia jadi begitu panik sekali?  Adakah soal rambut menjadi isu yang begitu besar padanya?
            Dari analisa singkat Syed Redza, sememangnya gadis itu cukup sensitif jika soal peribadinya disentuh terutama yang melibatkan aurat dan maruah dirinya.  Ternyata Zureen bukan gadis sembarangan. 
            “Patutlah jantan tu jejak dia sampai ke sini.  Pasti ada sesuatu yang sangat istimewa tentang budak ni”, bisik Syed Redza.
                        *****************************************
            Di bilik air Zureen menangis sepuas-puasnya.  Entah kenapa dia merasakan maruah dirinya telah tercemar.  Mungkin Syed Redza menganggap  isu itu kecil baginya tetapi tidak bagi Zureen.
            “Ya Allah, kenapa harus dia yang melihat aurat yang begitu aku jaga selama ini?  Apakah himah di sebalik kejadian yang amat memalukan aku ini??...”, rintih Zureen.
            Zureen menampar-nampar mukanya beberapa kali.  Satu tindakan untuk melepaskan kemarahan kepada dirinya sendiri.
            Hishh!! Kenapalah aku bodoh dan cuai sangat?
            Setelah beberapa ketika berada di bilik air, Zureen baru tersedar.  Dia tidak boleh berlama-lamaan di situ.  Syed Redza sedang menunggunya untuk menjalankan rawatan fisioterapi.  Akibat terlalu sangat melayan perasaan hibanya hingga dia terlupa seketika akan tanggungjawab yang sepatutnya dijalankan sekarang.
            Setelah dapat menenangkan hatinya dan mempastikan wajahnya kembali rapi, Zureen berjalan menuju ke bilik fisioterapi semula.  Sebolehnya dia tidak mahu Syed Redza tahu dia menangis.  Dia tidak mahu menunjukkan kelemahan dirinya di hadapan lelaki itu walaupun dia sememangnya lemah apabila berhadapan dengan situasi seperti ini.
            Sekembalinya Zureen ke bilik rawatan itu, dia amat terkejut apabila  mendapati Syed Redza sudah memulakan sesi fisioterapi sendirian.  Kedua-dua tangannya kuat berpaut pada palang sambil kakinya perlahan-lahan cuba melangkah.  Sesekali dia hampir tersungkur akibat kakinya yang masih lemah untuk melangkah.  Pautan tangannya yang menjadi penyelamat.  Jika tidak pasti sudah lama dia tergolek di situ.
            Zureen hampir terjerit apabila melihat Syed Redza hampir tersungkur.  Sekali lagi dia diserang perasaan bersalah kerana meninggalkan lelaki itu sendirian sedangkan waktu itu sepatutnya dia bersama Syed Redza menjalankan rawatan fisioterapi.
            “Ya Allah….Encik Redza kenapa buat rawatan ni sorang-sorang?  Kenapa tak tunggu saya?  Encik Redza tahu tak bahaya?  Kalau jadi apa-apa pada Encik Redza, nanti saya yang akan dipersalahkan.  Kan saya kata saya nak ke toilet sekejap….”,Zureen separuh menjerit.  Dia benar-benar terkejut dengan apa yang baru dilihatnya.
            “Aku tak perlukan simpati kau!  Aku nak buktikan yang aku boleh berjalan sendiri.  Tentu kau rasa jijik tengok lelaki OKU macam aku ni kan?”,balas Syed Redza tergigil-gigil akibat terlalu memaksa dirinya untuk berjalan.
            Entah kenapa sebaik sahaja Syed Redza teringatkan lelaki yang didakwa sebagai abang angkat Zureen itu, dirinya seolah-olah rasa tercabar.  Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu merasa begitu tetapi yang pasti dengan keadaan dirinya yang tidak mampu berjalan sendiri, sudah pasti dia tewas walaupun pertandingan belum pun atau tidak langsung bermula.  Perasaannya yang gila ketika itu telah menyebabkan dia memaksa dirinya untuk berjalan walaupun dia tahu tindakannya itu amat bahaya.
            “Encik Redza…..Encik Redza tak boleh macam ni.  Cara Encik Redza ni salah.  Cara Encik Redza boleh menyebabkan otot kaki Encik Redza semakin tercedera.  Rawatan fisioterapi ni mesti dijalankan dengan perlahan-lahan dan penuh kelembutan.  Tidak boleh terlalu memaksa.  Bahaya!”,balas Zureen dengan bersungguh-sungguh.
            Dia terus sahaja memaut lengan Syed Redza dalam usaha untuk menghalang lelaki itu dari terus berjalan.  Peluh membasahi wajah lelaki itu menunjukkan betapa dia bersungguh-sungguh untuk berjalan semula.  Sebaliknya Syed Redza menepis tangan Zureen.
            Zureen buntu!  Tidak tahu apa yang patut dilakukannya.  Nampaknya lelaki itu begitu nekad untuk berjalan sendiri.  Apalah agaknya yang telah merasuk fikiran lelaki itu sehingga boleh bertindak hingga ke tahap itu.
            Tadi beria-ia tak nak buat rawatan fisioterapi ni!  Sekarang beria-ia pula nak buat sampai tak menyempat-nyempat lagi!  Rungut Zureen sendirian.
            “Tak boleh jadi ni.  Kalau aku biarkan dia terus buat sendiri, silap-silap gaya makin tak boleh berjalan pulak.  Ah!  Apa nak jadi, jadilah.  Aku mesti tetap halang dia sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.  Aku buat ni demi tugas aku dan niat aku baik untuk membantunya….”, azam Zureen.
            Dengan kudrat yang masih berbaki, Zureen memaut lengan Syed Redza yang baru saja berada di permulaan palang.  Dari tadi, Syed Redza hanya mampu bergerak beberapa sentimeter sahaja. 
            Seperti tadi, Syed Redza cuba menolak tangan Zureen.  Akibat tindakannya yang hendak menolak Zureen ke tepi dengan tangan kirinya, tiba-tiba sahaja tangan kanannya yang sedia berpaut pada palang tadi juga terlepas dan……bedebuk!
            Kedua-duanya, Zureen dan Syed Redza terduduk dan apa yang lebih mengharu-birukan apabila ketika mereka jatuh terduduk, kedudukan Syed Redza yang tertimpa badan Zureen atau dengan perkataan mudahnya tubuh badan Syed Redza yang sasa itu telah menghempap tubuh Zureen yang kecil molek itu.
            Berada di dalam kedudukan itu, menyebabkan kedua-dua lidah kelu tidak terkata.  Baik Zureen mahu pun Syed Redza seperti terpukau seketika.  Kedua-dua pasang mata saling bertatapan.  Sukar untuk ditafsirkan makna renungan kedua-dua insan itu!

4 comments:

  1. Lambat lagi ke utk next punye bab? nak tau ape yg jadi ni...

    ReplyDelete
  2. Sabar ye aju.....nak menulis ni perlukan mood yg bagus...barulah dpt menghasilkan jalan cerita yg menarik....

    ReplyDelete
  3. Salam...saya baru start baca cerita ni semalam....best...tak sabar nak tau apa yg terjadi seterusnya... :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Aimi....

      So, mesti awak pembaca baru MSA kan? Maknanya baru baca bab 1-15lah ye? Anyway tq sbb sudi mmbaca.....teruskan mmbaca smpai bab 35 di blog ini & lps tu kalau nk tahu sambungannya kenalah beli novel MSA ye.....tq so much

      Delete

ASSALAMUALAIKUM....
Sila tinggalkan komen anda di sini.
SATU pun jadilah!...hehe
Semoga komen yang ikhlas dapat membantu saya.
TQ

COPYRIGHT(C)KARYA ANDAI ITU TAKDIRNYA DAN SEGALA YANG TERTERA DI ATAS ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN